‘DILARANG pasangan untuk duduk berdua-duaan atau cuba membuat maksiat di kawasan ini”.
Begitulah apa yang ditulis pada papan tanda yang diletakkan di kawasan Taman Jubli Perak, Sungai Petani, Kedah oleh Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP).
Larangan ini sekali gus meninggalkan tanda tanya pada pengunjung kerana apakah maksud ‘pasangan’ itu turut ditujukan kepada suami isteri? Sekiranya benar, ini bermakna pasangan suami isteri dilarang duduk berdua-duaan di kawasan taman tersebut.
Memetik laporan Sin Chew Jit Poh, isu kontroversi ini kini hangat diperkatakan oleh penduduk tempatan sebaik sahaja ia dimuat naik di laman sosial Facebook sejak kelmarin.
Taman Jubli Perak memang tidak asing lagi bagi penduduk tempatan yang ingin beriadah di situ. Setiap pagi ataupun petang, kelihatan ramai yang suka berjoging di sekitar kawasan.
Tidak kurang pula ada suami isteri membawa anak-anak mereka bersiar-siar menghirup udara yang nyaman di sekitar kawasan riadah itu.
Maka tidak hairanlah ramai yang mempertikaikan tindakan MPSP itu kerana ia pasti mengelirukan terutama sekali kepada pasangan suami isteri.
Ahli Perbandaran MCA, Ko Hung Weng memberitahu, tulisan pada papan tanda itu memang tidak sesuai dan harap ia dapat diperbetulkan.
Beliau berkata, setelah merujuk kepada pegawai MPSP, beliau diberitahu bahawa larangan yang ditulis pada papan tanda itu adalah ditujukan kepada umat Islam.
“Bagaimana pun, maksud ‘pasangan’ yang apa pada papan tanda itu tidak ditujukan sama ada kepada suami isteri, pasangan yang belum kahwin ataupun kaum.
“Larangan yang tidak begitu jelas ini pastinya akan mengelirukan terutama sekali kepada golongan bukan Islam,” katanya.

SUMBER - SINAR HARIAN