PERKATAAN yang saya tidak akan guna untuk menceritakan pengalaman saya sebagai guru ialah BOSAN. Saya tak pernah walaupun sesaat rasa bosan sebagai guru. Perkataan paling ekstrem ialah saya pernah rasa GILA.
Mengapa rasa gila sebagai guru? Saya mengajar pelbagai anak murid. Saya pernah mengajar bakal ustaz, ustazah, bakal ahli psikologi, bakal sosiologis, bakal sejarawan, bakal ahli komunikasi PR, bakal ahli sains politik, bakal penulis buku panas, bakal doktor perubatan, bakal peguam, bakal jaguh debat antarabangsa, bakal guru Arab atau Inggeris, dan bakal GILA masuk hospital bahagia pun ada!
Saya pernah ajar seorang anak murid. Beliau kelihatan rajin, pendiam. Tak pernah kemukakan soalan di dalam kelas. Selepas satu semester mengajarnya, tiba-tiba dia hantar SMS ugutan mahu bunuh saya kerana baginya saya pun gila macamnya! Gilakan? Saya telefon ibunya dan dapati memang dia gila bila tak makan ubat!
Seorang anak murid perempuan pula menangis sambil ceritakan kepada saya apa peristiwa gila yang berlaku antaranya dan boyfriendnya. Mereka keluar bersama ke Midvalley tetapi boyfriendnya tak cukup duit untuk belanja lebih-lebih. Maka, boyfriendnya pun minta dia tunggu dua jam di Midvalley dulu.
Boyfriendnya pun tinggalkannya. Selepas dua jam, boyfriendnya kembali dengan duit yang banyak. Dia paksa boyfriendnya untuk beritahu bagaimana dia dapat duit. Akhirnya, boyfriendnya bagi tahu bahawa dia naik ke hotel sekejap untuk diliwat oleh pelanggan lelaki! Memang gilakan?
Pernah juga seorang pelajar lelaki yang selama ini gay melanggan seorang pelacur semata-mata nak tahu sejauh mana dia boleh 'buat' dengan perempuan. Memang GILA punya logik!
Selepas 'test drive', dia masih cenderung kepada gay. Maka, dia pun cari saya untuk nasihat. Sebenarnya ramai pengalaman hidup antara pelajar-pelajar saya yang gila. Pengalaman gila tentang diri mereka sendiri, keluarga mereka, sahabat-sahabat mereka. Mereka ini terdiri daripada semua kategori pelajar seperti yang saya telah sebut di atas.
Pengajaran paling mahal yang saya belajar ialah jangan mudah anggap diri kita ini paling malang, paling abnormal. Sebenarnya ramai di luar yang kelihatan berpakaian normal, perwatakan normal, keluarga normal pada hakikatnya seperti kita juga atau lebih gila daripada kita.
ALLAH SWT Maha Adil. Ujian diberi kepada setiap orang mengikut latar belakangnya. Seorang pendakwah perlu menganggap bahawa dakwah memerlukan kita memahami setiap klien mengikut pengalaman hidup klien itu sendiri. Dakwah bukan semudah memberitahu klien ini haram dan ini halal.
Seorang pelajar perempuan Melayu mengaku bahawa beliau benci Islam kerana pelajar-pelajar 'solehah' selalu menyindir mengapa dia free hair di luar kampus. Bila topik Islam dikeluarkan depan beliau, isu tudung sentiasa dibesar-besarkan.
Bila saya selidik dengan mendalam, rupanya dia adalah mangsa rogol abang kandungnya sendiri. Keluarganya adalah 'Islamik' dari segi pakaian. Statistik rasmi sumbang mahram adalah tinggi dalam kalangan umat kita di Malaysia. Kalau tak rasmi, bagaimana?
Masalah pelajar ini bukan kerana dia mempersoalkan isu aurat. Fiqh Awlawiyat mengajar kita tentang apa prioritas yang perlu difikirkan dahulu, apa mudarat yang lebih besar antara dua perkara haram. Prioritas fiqh di sini ialah menjaga diri  (hifz an-nafs). Dirinya tidak rasa selamat dalam rumahnya sendiri! Rumahku nerakaku. Mahramnya yang juga wali nikahnya adalah perogolnya!
Setiap kali dia pakai tudung, ia mengingatkan dia tentang perogolnya yang begitu menjaga pakaian Islamik. Maka, dia benci tudung. Benci Islam. Benci semua yang kelihatan soleh dan solehah.
Saya tanya padanya mengapa dia percaya pula bahawa saya boleh bantunya. Dia berkata, “kerana Xifu kelihatan tidak soleh! Pakai topi Cina mafia!”
Saya gelak dan berterima kasih padanya kerana percaya pada saya. Setiap pendakwah ada kliennya yang tersendiri. Ada pendakwah yang perlu pakai kopiah tetapi janganlah salahkan pendakwah yang pakai lain dari yang lain. Mungkin para kliennya pun lain dari yang lain.
Mahu jadi guru? Bukan sekadar mengajar course outline tapi jadilah seorang pendakwah yang gila-gila juga!

* Abdul Naser Tun Rahman AJK Macma, Smash, Murshid